Teka-teki mengenai siapa bakal menggantikan Tan Bin Shen di posisi ketua jurulatih bahagian beregu lelaki negara kian hangat diperkatakan.
Ketika ini, dua nama disebut-sebut untuk mengisi kekosongan itu ialah bekas ketua jurulatih skuad beregu lelaki India, Mathias Boe, dan bekas jurulatih skuad Indonesia, Herry Iman Pierngadi.
Beregu lelaku negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengakui sudah mengemukakan beberapa calon ketua jurulatih pilihan mereka kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengisi tempat yang ditinggalkan Bin Shen.
Aaron berkata dia mengetahui tentang peletakan jawatan Ben Shen selepas berakhirnya saingan Kejohanan Final Jelajah Dunia BWF di Hangzhou dua minggu lalu.
"Kami tidak terlalu terkesan kerana jurulatih memang akan datang dan pergi," kata Aaron kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
"Kami hanya perlu meneruskannya. Bagi saya sesiapa sahaja (yang layak) boleh melatih kami.
"Yang penting adalah untuk membina beregu meningkat naik dan bukan hanya kami.
"Kami memikirkan mengenai keseluruhan pasukan beregu lelaki dan yang penting, dia (calon jurulatih) perlu membantu seluruh pasukan," katanya.
Wooi Yik, dalam pada itu, meluahkan penghargaan besar buat bekas jurulatihnya itu, yang selalu ada sepanjang jatuh bangun mereka.
"Kami memiliki hubungan baik selama empat ke lima tahun, kami banyak belajar daripadanya. Dia membawa kami sehingga ke tahap dunia," katanya.
Muzaffar Musa
Mon Dec 23 2024