Persorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara badminton perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Majlis Sukan Negara (MSN) di Arena Axiata hari ini.
Turun dengan mewakili kontinjen Johor, pemain berusia 22 tahun itu ketinggalan sebaik tewas 18-21 kepada bekas juara Remaja Asia 2017, Leong Jun Hao -- yang mewakili Wilayah Persekutuan -- dalam set pertama.
Bagaimanapun, Tze Yong, yang beraksi dalam keadaan tidak cukup sihat, memanfaatkan segala kelebihan yang dimilikinya untuk memenangi dua set terakhir 21-19, 21-12.
Kejayaan terbaru itu turut menyaksikan dia memperbaiki pencapaian tersingkir seawal pusingan kedua dalam edisi di Perak pada 2018.
Dalam kategori perseorangan wanita pula, wakil Selangor, Siti Nurshuhaini Azman, memenangi pingat emas selepas menewaskan rakan sepasukan, K. Letshanaa, 21-19, 21-19.
Muzaffar Musa
Sat Sep 24 2022