Pemain perseorangan lelaki Wilayah Persekutuan, Leong Jun Hao tekad mahu menebus kehampaan tewas di peringkat suku akhir edisi lalu apabila bakal turun dalam aksi akhir acara badminton perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 esok.
Menurut Jun Hao, dia enggan memikirkan soal lawannya esok sebaliknya mahu memberikan aksi yang terbaik dalam misi merebut pingat emas.
“Jadi, kali ini saya harap boleh bantu Wilayah Persekutuan untuk meraih emas. Saya percaya setiap pemain mempunyai peluang untuk menang, siapa yang menampilkan prestasi terbaik ada peluang lebih tinggi untuk menang.
“Pada 2018 selepas acara berpasukan, tubuh badan saya agak tidak selesa dan membuatkan saya hilang tumpuan dan tidak boleh beraksi dengan baik dalam acara perseorangan sekali gus kalah di suku akhir.
“Kali ini, saya cuba buat persiapan terbaik untuk menghadapi aksi final esok dan berharap dapat keputusan yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini Jun Hao mengesahkan tiket ke perlawanan akhir selepas menewaskan Kok Jing Hong yang mewakili Kedah 16-21, 21-12, 21-12 pada aksi separuh akhir.
Juara remaja Asia 2017 itu akan berdepan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham, Ng Tze Yong, yang mengetepikan wakil Selangor, Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Saingan beregu campuran pula menyaksikan pasangan Melaka, Tee Kai Wun-Toh Ee Wei akan menentang beregu Kelantan, Muhammad Haikal Nazri-Chan Wen Tse dalam aksi final, esok.
Kai Wun-Ee Wei mara ke final selepas menang ke atas Owen Ting Shih Wee-Wong Ling Ching dari Sarawak 21-13, 21-7 manakala Haikal-Wen Tse menundukkan Tan Kok Xian-Yap Ling dari Melaka 21-17, 21-15.
Kredit: Sinar Harian
Sinar Harian
Fri Sep 23 2022