Sukan SEA: Zaiful Zainal bangga pencapaian Umar Osman pecah rekod kebangsaan

Ammar Hakim
Mei 12, 2023 20:23 MYT
Bekas pemegang rekod kebangsaan olahraga acara 400 meter, Mohd Zaiful Zainal, berbangga atas pencapaian terbaik yang ditunjukkan oleh Umar Osman di Sukan SEA Kemboja apabila berjaya mencipta rekod baru yang dipegang selama 22 tahun itu.
Atlet berusia 20 tahun itu muncul pelari terpantas selepas menuju ke garisan penamat dengan catatan masa 46.34 saat untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.
Wakil Filipina, Umajesty Williams, memenangi pingat perak dengan 46.52s manakala rakan senegaranya, Frederick Ramirez, memenangi gangsa dengan 46.63s.
Kejayaan Umar itu turut menyaksikan dia memecahkan rekod kebangsaan milik Zaiful Zainal Abidin, yang sebelum ini bertahan selama 21 tahun.
"Sebelum ini, saya menjadi inspirasi kepada atlet olahraga dan sentiasa menantikan rekod yang berusia 22 tahun itu dipecahkan. Jadi dengan kejayaan Umar melakukan catatan baru buat rekod kebangsaan adalah sesuatu yang snagat membanggakan bukan hanya untuk dirinya namun buat saya juga.
"Kini dia bakal menempuhi pengalaman yang baru dan bakal menjadi inspirasi buat atlet-atlet yang bakal meningkat naik pada masa akan datang."
Sementara itu, dia yang kini menjawat jawatan tinggi dalam bahagian pembangunan kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagaimanapun menitikberatkan keseimbangan pendidikan dan sukan serta menjadikan Azeem Fahmi sebagai contoh buat atlet-atlet muda.
;