Sukan SEA Kemboja: Beregu wanita berdepan tugas berat separuh akhir

Shaiful Shamsudin
Mei 14, 2023 20:47 MYT
Beregu wanita, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan, menyedari tugasan lebih getir menanti mereka apabila melangkah ke separuh akhir Sukan SEA Kemboja, esok.
Kelibat Xin Jie-Yeen Yuan menjadi tumpuan apabila mereka bangkit untuk kemenangan 2-1 ke atas Chasinee Korepap dan Pitchamon Opatniputh daripada Thailand.
"Kami memperlahankan sedikit rentak kami sebab kami agak terburu-buru pada awal permainan, selepas itu kami mendapat rentak," kata Xin Jie.
Bagaimanapun, mereka tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, cuma berazam memberikan saingan terbaik kepada pilihan utama dari Indonesia yang kini di ranking ke-14 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Amalia Cahaya Pratiwi.
Menurut Yeen Yuan pula: "Saya teruja untuk ke final, cabarannya agak sukar pada ketika ini."
Satu lagi beregu wanita negara, Xiao En Heng-Elsa Lai, mengalahkan Cheng Su Hui-Cheng Su Yin (Singapura) 21-12, 21-11.
Sementara itu, Chia Weijie-Liew Xun serta Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe terpaksa akur apabila kempen berakhir dalam suku akhir.
#badminton #Sukan SEA Kemboja