Sekiranya pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu mengungguli peringkat kumpulan, pemain di ranking kelapan dunia tersebut berkemungkinan besar akan membuat perhitungan awal dengan juara bertahan dari China, Chen Long, selain berpotensi berdepan pilihan kedua, Chou Tien-chen, dalam suku akhir.
Pilihan kesembilan kejohanan itu dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan awal apabila diuji Leverdez dan Pochtarov yang masing-masing di kedudukan ke-36 dan ke-98 dunia, bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Soniia Cheah pula menghadapi tugas yang perit dalam perseorangan wanita apabila berdepan cabaran Ratchanok Intanon dari Thailand dan Linda Sarosi (Hungary) dalam Kumpulan N.
Sekiranya dia menguasai puncak kumpulan, Soniia berpeluang bertemu wakil Kumpulan M yang dihuni Gregoria Mariska Tunjung dan pemain Jerman, Lianne Tan.
Finalis beregu campuran edisi Rio 2016, Goh Liu Ying-Chan Peng Soon, bakal menghadapi rintangan awal dalam Kumpulan D yang menempatkan pilihan kedua dari China, Wang Yi-lyu-Huang Dong Ping, selain pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich, dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong).
Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang membawa cabaran dalam beregu wanita pula mengintai kejutan ketika bertemu jaguh Jepun, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima, Apriyani Rahayu-Greysia Polli (Indonesia) dan Lauren Smith-Chloe Birch (England) dalam Kumpulan A.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan ditemani seteru Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, yang mengecewakan mereka dalam final All-England 2019 apabila bertemu dalam Kumpulan D beregu lelaki.
Selain itu, mereka juga akan berentap dengan Choi Sol-gyu-Seo-jae (Korea Selatan) dalam usaha menguasai dua tempat teratas sementara Jason Anthony Ho-Shue-Nyl Yakura dari Kanada melengkapkan saingan kumpulan itu.
Format beregu menyaksikan dua beregu terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati sebelum undian seterusnya dibuat.