Sukan Komanwel Glasgow: MOM akur cadangan anjur badminton ditolak
Shaiful Shamsudin
November 9, 2024 19:11 MYT
November 9, 2024 19:11 MYT
Hasrat Malaysia untuk membantu tuan rumah Sukan Komanwel 2026 menganjurkan badminton ditolak Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).
Sebelum ini, Malaysia mengemukakan cadangan untuk menganjurkan sukan badminton serentak bersama 10 sukan lain yang dipertandingkan dalam Sukan Komanwel Glasgow di Scotland memandangkan badminton merupakan lubuk emas kem negara dalam temasya itu.
"Kita kena lihat balik penyertaan Malaysia sebab mungkin dua sahaja sukan yang kita boleh ada prestasi dalam Sukan Komanwel, iaitu boling padang dan angkat berat.
"Jadi kami cuba minta CGF untuk Malaysia jalankan badminton ketika dalam masa sama Glasgow bertindak sebagai tuan rumah dan permintaan itu ditolak" kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib.
Pasca Mesyuarat MOM dan Perhimpunan Agung MOM hari ini sebulat suara mengingatkan persatuan sukan kebangsaan agar membuka akaun kedua segera jika mahu menerima dana daripada kerajaan.
Perkara ini dibincangkan selepas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengesahkan menerima laporan persatuan sukan enggan membuka akauan kedua khas tersebut atas alasan tersendiri.
Situasi setiap persatuan sukan berbeza dan Hannah akan melihat balik proses bantuan kepada persatuan sukan
"Dan macam mana persatuan boleh tunjukkan secara terperinci dalam audit akaun mereka.
"Mungkin proses itu akan diperincikan dan akan ada proses yang baru untuk bantuan kewangan kepada persatuan sukan," katanya lagi.