Sukan Komanwel Birmingham: Skuad badminton Malaysia-England rebut slot final

Shaiful Shamsudin
Julai 31, 2022 21:35 MYT
MALAYSIA 3 SRI LANKA 0
Skuad badminton berpasukan Malaysia akan bertemu England dalam separuh akhir Sukan Komanwel Birmingham selepas mencatat kemenangan mudah 3-0 ke atas Sri Lanka, sebentar tadi.
Seperti yang dijangka, kontinjen negara tidak berdepan masalah di gelanggang Pusat Pameran Kebangsaan apabila mendahului menerusi beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang menewaskan Sachin Dias-Thilini Hendahewa 21-14, 21-14.
Ng Tze Yong menjadikan kedudukan 2-0 dengan kejayaan 21-15, 21-14 ke atas Niluka Karunaratne, sebelum Goh Jin Wei mengesahkan laluan ke separuh akhir dengan kemenangan 21-9, 21-5 ke atas Vidara Suhasni Vidanage.
Kemenangan itu secara tidak langsung menyaksikan kelibat beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah, tidak perlu diturunkan.
Bagaimanapun, rencana petang ini mungkin berubah apabila mereka berdepan wakil tuan rumah yang terdiri daripada barisan pemain yang lebih handal.
Ben Lane-Sean Vendy (beregu lelaki) dan Chloe Birch-Lauren Smith (beregu wanita) berada di kedudukan 20 dunia, manakala Ng Tze Yong berdepan ujian getir menentang Toby Penty dalam acara perseorangan lelaki.
#badminton #Sukan Komanwel Birmingham