Chef-de-mission (CDM) ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt, berpuas hati dengan lawatan pertama persediaan skuad skuasy dan wusyu kebangsaan sebelum temasya bermula pada 23 September depan.

Kim Fatt mengesahkan kem wusyu negara akan menjalani latihan pusat selama sebulan di Beijing sebagai persediaan bagi mencerahkan lagi peluang mencapai sasaran satu pingat.

Justeru, atlet akan diberi ruang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan tanpa sebarang gangguan selain menguasai darjah kesukaran baru.

"Walaupun COVID-19 melanda selama dua tahun setengah tetapi China, Hong Kong dan Macau tidak berhenti membuat persiapan dan melalui Sukan Universiti Dunia (di Chengdu minggu lalu), kita boleh nampak tahap mereka semakin tinggi.

"(Jadi kami mahu memantapkan) persembahan dan mental atlet negara dengan pergi awal selama satu setengah bulan," katanya.

Kim Fatt turut memberi lampu hijau kepada skuad skuasy negara yang berhasrat untuk bertolak tiga hari sebelum Sukan Asia berlangsung agar mempunyai tempoh lebih panjang bagi tujuan menyesuaikan diri dengan gelanggang.

"Saya seronok pasukan sebagai pemain termuda buat julung kalinya berikutan pasukan ini agak mantap.

"Kami berlatih seperti biasa dan berharap dapat berikan persembahan yang baik dan menyumbang kepada Malaysia," kata naib juara Kejohanan Dunia Remaja 2023, Aira Azman.