Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memastikan kem badminton negara tidak pulang dengan tangan kosong dari Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila menempah tempat ke separuh akhir acara beregu lelaki sebentar tadi.
Berdepan wakil tuan rumah, Liu Yuchen-Ou Xuanyi, pasangan negara itu mengungguli perlawanan padat aksi berkenaan di Gimnasium Binjiang.
Aksi sengit berlangsung sejak dari awal sebelum Aaron dan Wooi Yik berhasil memenangi set pertama, 21-18.
Keamatan perlawnan itu kian meningkat dalam set berikutnya dan debaran peminat sukan negara memuncak apabila gandingan tuan rumah berkenaan mengikat kedudukan dengan memenangi set kedua 21-19.
Dengan kedua-dua beregu saling bekejaran mata dalam set penentuan, tekanan yang kian memuncak menuju ke penghujung aksi itu akhirnya terurai apabila Aaron dan Wooi Yik mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-18 selepas bertarung selama sejam dan 20 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Aaron dan Woi Yik memastikan satu kilauan pingat buat negara -- sekurang-kurangnya pingat gangsa -- dengan melayakkan diri ke separuh akhir.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara gandingan Singapura, Ne Joo Jie-Johann Prajogo, dan beregu pilihan kedua dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy, bagi penentuan ke final esok.
Muzaffar Musa
Thu Oct 05 2023