BADMINTON
SSPL: Serdang BC hidupkan peluang dengan bakat muda
Kelab Badminton Serdang (Serdang BC) kembali menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19 selepas menewaskan Bandar Maharani BC 12-4 dalam perlawanan Kumpulan A, peringkat kedua SSPL di Gem In Mall, sebentar tadi.
Kemenangan itu nyata melegakan Serdang BC kerana mereka semakin kukuh di kedudukan keenam ketika ini.
Ong Ewe Hock selaku pengurus Serdang BC berkata: “Ya, kemenangan ini adalah baik untuk kami kerana memperoleh 12 mata. Ini adalah petanda positif dalam permulaan peringkat kedua SSPL dan dalam baki satu lagi perlawanan, kami akan terus cuba meraih mata kerana menentang lawan yang agak kental juga.
“Kami pernah menewaskan mereka (Petaling BC) sebelum ini biarpun tidak siapa sangka kami akan memenangi perlawanan tersebut. Seperti biasa, saya akan terus menggunakan pemain-pemain muda untuk mencipta kejutan kerana kami adalah 'underdog',”kata Ewe Hock.
Acara perseorangan lelaki menjadi milik Serdang BC apabila pemain muda mereka, Muhd Shaqeem Eiman Shahyar, menang 3-1 (11-7, 11-7, 4-11, 11-10) ke atas Ooi Jhy Dar daripada Bandar Maharani BC.
Pemain perseorangan wanita Serdang BC, Lyanny Alessandra Mainaky, menjarakkan kedudukan menjadi 6-1 setelah menumpaskan pemain Bandar Maharani BC, Yap Rui Chen, 3-0 (11-8, 11-4, 11-4).
Dalam acara beregu lelaki pula, Bandar Maharani BC bangkit menerusi gandingan Mohd Razlan Shah-Yap Roy King, yang menang 3-0 (11-8 11-10 11-4) ke atas gandingan Serdang BC, Choo Kai Qing-Ong Wei Khoon, untuk merapatkan kedudukan kepada 6-4.
Serdang BC mengesahkan kemenangan mereka ke atas Bandar Maharani BC apabila menang 3-0 (11-8, 11-7, 11-9) dalam acara beregu campuran melalui Liu Lin-Yap Qar Siong yang menewaskan Lee Zhi Qing-Wong Tien Ci.
Serdang BC juga mendapat kemenangan percuma 3-0 dalam perseorangan lelaki selepas pemain Bandar Maharani BC, Lim Chong King, gagal turun beraksi.
Di peringkat kedua SSPL, Petaling BC yang terlepas genggaman slot automatik SSPL diundi bersama Bandar Maharani BC dan Serdang BC dalam Kumpulan A.
Satu lagi saingan peringkat kedua Kumpulan B menyaksikan finalis tahun lalu, Kepong BC, bakal membuat perhitungan bersama-sama dua pendatang baru, Bukit Mertajam All Stars BC dan Tebrau City BC.
Keenam-enam pasukan di peringkat kedua SSPL akan menentang lawan dalam kumpulan masing-masing dan kutipan set kemenangan di peringkat kedua akan dicampur dengan jumlah set kemenangan yang diraih semasa peringkat pertama.
Dengan itu, empat pasukan yang menempatkan diri di ranking ketiga hingga keenam akan mengiringi Ampang Jaya BC dan Puchong United BC untuk beraksi dalam pusingan akhir SSPL nanti.