BADMINTON

SSPL: Kepong BC, Petaling BC ke separuh akhir

Penulis Jemputan 25/01/2019 | 05:05 MYT
Petaling BC mengesahkan laluan ke separuh akhir SS Purple League (SSPL) 2018-19 setelah meraih kemenangan 11-6 ke atas Tebrau City BC di Arena Of Stars, Resorts World Genting, malam tadi.
Mereka akan berdepan tugas getir bertemu juara bertahan SSPL, Puchong United, hari ini.
Sementara itu, Kepong BC yang turut melakar kemenangan di peringkat suku akhir semalam bakal bertemu Ampang Jaya BC yang belum pernah tewas dalam SSPL musim ini.
Jan O’ Jorgensen memulakan rentak cemerlang Petaling BC dalam acara perseorangan lelaki.
Pemain Denmark itu meletakkan Petaling BC di depan menerusi kemenangan 3-1 (9-11, 11-6, 11-5, 11-6) ke atas Adulrach Namkul.
Kemudian, giliran pemain perseorangan wanita Petaling BC, Yip Pui Yin, pula beraksi cemerlang untuk meletakkan pasukan itu selesa mendahului 6-2 menerusi kemenangan 3-1 (11-10, 11-8, 6-11, 11-4) ke atas Xu Wei.
Tebrau City BC ternyata tidak mudah mengalah dan bangkit untuk memenangi acara beregu lelaki.
Gandingan dari Thailand, Peeranat Boontun-Boonsak Ponsana, berjaya menumpaskan Man Wei Chong-Shia Chun Kang 3-2 (11-9, 10-11, 11-9, 6-11, 11-10) untuk merapatkan kedudukan kepada 5-8.
Petaling BC, yang memerlukan kemenangan dalam beregu campuran untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir SSPL berjaya mencapai misi tersebut.
Mereka yang menurunkan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei mudah meraih kemenangan 3-1 (11-7, 11-7, 5-11, 11-6) bagi mengatasi gandingan Tan Jinn Hwa-Pearly Tan Koong Le untuk mara ke separuh akhir.
Biarpun berjaya melayakkan diri ke separuh akhir, ketua jurulatih Petaling BC, Ismail Saman, tetap khuatir dengan prestasi kurang memberangsangkan yang dipamerkan sesetengah pemainnya.
"Hari ini, pemain bermain dengan bagus mengikut apa yang dirancangkan, namun saya agak risau dengan beregu lelaki yang masih belum menemui sentuhan.
"Puchong United pasti sudah mengetahui kelemahan kami dan saya perlu memperbaiki kelemahan tersebut sebelum berdepan mereka.
"Man Wei Chong-Shia Chun Kang kurang serasi dan kerap melakukan kesilapan mudah," katanya.
Kepong BC yang beraksi pada sebelah petang turut menepati ramalan untuk melepasi peringkat suku akhir SSPL 2018-19 dengan menewaskan Serdang BC 10-4 di venue sama.
Namun, mereka tewas dalam aksi perseorangan lelaki selepas Soong Joo Ven gagal menangkis asakan Leong Jun Hao sebelum tewas tipis 2-3 (11-5, 5-11, 10-11, 11-6, 10-11).
Kepong BC mula menunjukkan taring sebenar dalam acara perseorangan wanita.
Pemain dari China, Qin Jin Jing, mudah menumbangkan Wei Yawen 3-0 (11-5, 11-9, 11-7) untuk kembali mendahului 5-3.
Beregu lelaki Kepong BC, Mohd Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub mengukuhkan kedudukan itu dengan mengatasi Lwi Sheng Hao-Mohd Syazmil Idham Zainal Abidin 3-0 (11-9, 11-8, 11-5).
Kemenangan itu membolehkan Kepong BC di depan 8-3 secara keseluruhan.
Kemaraan Kepong BC dinoktahkan oleh pasangan beregu campuran, Mads Conrad Petersen-Wu Qian Qian, yang menumbangkan Liu Lin-Yap Qar Siong 2-1 (11-10, 8-11, 11-7).
;