Pasukan wanita Malaysia menerima talian hayat apabila layak ke Piala Uber akan datang (28 April-5 Mei) biarun memperagakan prestasi buruk dalam Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC), minggu lalu.

Malaysia lolos di samping Taiwan dan Amerika Syarikat (AS) berdasarkan mata ranking pasukan masing-masing.

Pada masa ini, Malaysia berada di tempat ketujuh ranking pasukan dunia di belakang India dengan 9900 mata dan walaupun layak, pasukan wanita perlu bekerja keras seandainya berhasrat untuk memberi saingan hebat.

Mereka tumbang 0-3 setelah mempamerkan persembahan yang kurang kualiti dan keyakinan diri kepada pasukan Indonesia yang menurunkan barisan kedua.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bercadang untuk menghantar pemain seperti K.Letshaana, Wong Ling Ching dan Siti Nurshuhaini Azman untuk berlatih di luar negara tetapi masih belum dipastikan lagi sama ada mereka akan dihantar sebelum kempen Piala Uber berlangsung di Chengdu, China.

Terdapat juga jangkaan tinggi terhadap beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah, untuk memperbaiki prestasi mereka dalam pertandingan Eropah akan datang.

Dalam kempen di Setia City Convention Centre minggu lalu, beregi nombor 15 dunia itu tewas kepada pasangan Thailand dan Indonesia.

Dalam Piala Uber 2022, Malaysia tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan yang mengandungi tuan rumah, Thailand, Denmark dan Mesir kerana mereka hanya mampu menduduki kedudukan ketiga.