Siri Antarabangsa Malaysia: Joo Ven tekad lakar kebangkitan
Penulis Jemputan
Jun 11, 2019 13:27 MYT
Jun 11, 2019 13:27 MYT
Pemain perseorangan badminton negara, Soong Joo Ven, bertekad untuk memperbaiki prestasinya dalam Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, bermula Selasa depan selepas terkandas dalam suku akhir Terbuka Australia, Sabtu lalu.
Meskipun mempamerkan aksi yang baik di Australia, pemain muda itu tewas kepada wakil Taiwan, Chou Tien Chen, 14-21, 8-21 di peringkat suku akhir.
Walaupun menjadi wakil tunggal negara di peringkat itu, pemain berusia 24 tahun itu masih tidak berpuas hati dengan prestasinya.
"Saya melakukannya dengan baik sehingga ke suku akhir, namun saya agak kecewa dengan persembahan saya di peringkat itu kerana saya ketinggalan agak jauh, jadi saya tidak berpuas hati dengan keupayaan diri sendiri," katanya.
Joo Ven bertekad untuk memperbaiki prestasinya dalam kejohanan di Ipoh itu dengan meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya ke separuh akhir.
"Ia merupakan kejohanan tempatan, jadi ia platform yang baik untuk saya.
"Sasaran peribadi saya ialah untuk layak ke separuh akhir.
"Selepas itu, saya akan melihat apa yang berlaku," tambahnya.