BADMINTON

Seluruh England: Zii Jia lakar kemenangan dramatik atasi Momota

Ammar Hakim 18/03/2022 | 18:39 MYT
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, melepasi halangan terbesar apabila berjaya mengatasi pemain nombor dua dunia, Kento Momota, untuk mara ke separuh akhir Seluruh England, sebentar tadi.
Set pertama menyaksikan Zii Jia melakar kemenangan terbesar ke atas Momota dengan 21-7 -- Mata demi mata dipungut sehingga satu ketika Zii Jia mendahului 17-1 sebelum menoktahkan saingan.
Mula membaca rentak dan strategi yang dipamer Zii Jia, Momota menemui semula keyakinan dan berjaya bangkit di set kedua apabila meraih kemenangan 21-13 untuk membawa perlawanan ke set penghitungan.
Memperbaiki kesilapan di set kedua, ketidaksabaran Zii Jia yang kerap mahu mematikan mata dengan segera namun memerangkap diri sendiri, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mula menguasai permainan dengan meraih deretan mata sekaligus mengecewakan harapan Momota untuk ke separuh akhir.
Kemenangan yang diraih bermakna Zii Jia bakal bertemu pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia dari India, Lakshya Sen, selepas wakil China, Lu Guang Zu memberikan 'walkover'.
;