SELBATC: Percaturan pemain beri kelebihan buat China -- Rexy Mainaky

Shaiful Shamsudin
Februari 18, 2024 21:08 MYT
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, menganggap pertukaran taktikal barisan pemain memberi kelebihan kepada China.
Skuad negara gagal mempertahankan gelaran Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (SELBATC) apabila kecundang 0-3 kepada China di Setia City Convention Centre, hari ini.
Ketiadaan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong jelas menjadi titik tolak untuk China merampas gelaran tersebut.
"Kalau turun dengan skuad penuh, kami mungkin berpeluang menjadi juara.
"Dalam situasi ini, China mungkin tidak menyangka kami akan turunkan barisan pemain seperti hari ini.
"Mereka mungkin sudah membuat persiapan untuk berdepan perseorangan, Lee Zii Jia, dan berdasarkan rekod pertemuan memang lebih memihak pihak lawan," katanya.
Tambah Rexy, juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pula terperangkap dengan permainan seteru di ranking ke-90 dunia, Xie Hao Nan-Zheng Wei Han.
"Sebaik mengetahui barisan yang diturunkan Malaysia, keyakinan China seakan bertukar terutama beregu lelaki.
"Kalau Jun Hao dapat heret sampai ke set ketiga, mungkin situasi akan berbeza. Semangat mereka mungkin masih ada tapi kemenangan straight set memberi motivasi kepada China.
"Pujian juga harus diberikan kepada beregu lelaki China yang berjaya mengawal tekanan.
"Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlalu terikut-ikut permainan China dan lawan juga sedar jika mereka dapat mengheret permainan, peluang mereka bergelar juara lebih cerah.
"Ini kerana perseorangan terakhir kami adalah daripada (bidan terjun) pemain beregu, Haikal Nazri," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
#badminton #SELBATC
;