MALAYSIA 0 CHINA 3

Trofi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) terlepas ke tangan China selepas skuad negara tumpas 0-3 dalam pertarungan final di Setia City Convention Centre, sebentar tadi.


Sejam sebelum misi mempertahankan kejuaraan, kem negara dikejutkan dengan barisan utama yang dipertaruhkan berikutan ketiadaan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong.

Satu persatu tonggak negara tersungkur dengan Weng Hong Yang menundukkan Leong Jun Hao 21-19, 21-17, kemudian Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal menepati reputasi mereka apabila kecundang kepada beregu lelaki kurang ternama, Xie Hao Nan-Zheng Wei Han, 21-16, 16-21, 23-21.



Kedudukan 0-2 itu meninggalkan Eogene Ewe dalam situasi lebih mencabar dan usahanya untuk cuba menghidupkan talian hayat perjuangan tidak kesampaian apabila giliran perseorangan berusia 18 tahun dari Perak tersebut tumbang 10-21, 14-21, sekali gus perlu berpuas hati dengan pingat perak edisi ini.