Skuad negara perlu tampil lebih baik dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (SELBATC) 2024 berbanding ketika aksi di Kejuaraan Terbuka Malaysia - kejohanan pembukaan kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) pada Januari lalu.

Itu harapan legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek terhadap pemain negara yang akan membuka gelanggang kempen di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Selasa.

“Menang kalah itu adat pertandingan, akan tetapi tampilkanlah satu persembahan yang membolehkan rakyat Malaysia bangga melihat semangat juang anda (pemain) semasa bertarung di gelanggang.

“Saya percaya peminat-peminat badminton negara mengetahui sejauh mana tahap keupayaan pemain-pemain yang diberikan kepercayaan menggalas cabaran negara.

“Kepada pemain-pemain senior bermainlah sepenuh jiwa manakala kepada pemain-pemain junior train hard dan work hard. Ketepikan perkara-perkara yang tidak penting di luar gelanggang, sebaliknya fokus kepada misi mengharumkan nama negara Malaysia,” katanya pada Isnin.

Sebagai rekod, edisi 2022, pasukan lelaki negara yang diketuai bekas juara juara Seluruh England, Lee Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik, merangkul gelaran BATC sulung masing-masing selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir, manakala pasukan wanita pula mara ke separuh akhir.-Sinar Harian