Rosman Razak kembali ke pangkuan BAM
Muzaffar Musa
Oktober 22, 2024 11:43 MYT
Oktober 22, 2024 11:43 MYT
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebentar tadi mengumumkan kepulangan Rosman Razak sebagai ketua jurulatih bagi bahagian beregu wanita negara.
Rosman, yang memiliki kepakaran dan berpengalaman luas dalam sektor beregu wanita, akan kembali bertugas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada 5 November depan.
Dengan hampir dua dekad pengalaman selaku barisan kejurulatihan beregu wanita kebangsaan, Rosman memiliki kepakaran dan kepimpinan yang besar dalam peranan itu.
"Kami mengalu-alukan kepulangan Rosman dalam pasukan kejurulatihan," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky, dalam kenyataan itu.
"Pengalamannya selama bertahun-tahun bersama pasukan kebangsaan amat berharga dan kami percaya kepimpinannya akan memainkan peranan penting dalam memacu skuad beregu wanita ke tahap baru."
Rosman akan bekerjasama rapat dengan Rexy, bersama jurulatih pasukan senior, Ching Kai Feng, dan jurulatih pasukan remaja, Amelia Anscelly, dalam usaha untuk mengukuhkan dan mengembangkan lagi pasukan beregu wanita kebangsaan.