Roslin dedah pengalaman 'didera secara halus'


Disember 25, 2023 11:15 MYT
Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim, mendedahkan pengalamannya 'didera secara halus' oleh jurulatih ketika bergelar atlet negara sekitar akhir tahun 1999 hingga awal 2000.
Beliau berkata, meskipun tiada kritikan keras atau teguran kasar, jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek 'membasuh' para pemain secara psikologi yang mempunyai maksud tersirat.
Tambahnya, tujuan jurulatih berbuat demikian bagi meningkatkan tahap mental dan berfikir secara matang sama ada ketika dalam latihan atau dalam kejohanan sebenar.
“Saya pernah dihalau balik kerana lewat tiba di pusat latihan.
"Meskipun sudah meminta maaf dan mohon izin untuk berlatih, dia (Misbun) tetap meminta saya balik.
“'Engkau balik'. Saya pun meninggalkan tempat latihan dan balik rumah.
"Sehari kemudian saya dimaklumkan oleh Jalani (Sidek-Presiden Kelab Badminton Nusa Mahsuri) kes saya itu sebagai serius.
“Saya disingkir dari kelab. Jika masih mahu bermain buat surat tunjuk sebab.
"Empat lima hari kemudian, selepas permohonan maaf diterima, saya kembali menjalani latihan,” katanya.
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky awal minggu ini mendedahkan pendekatan memanjakan pemain boleh 'membunuh' karier pemain selain merencatkan proses pembangunan skuad kebangsaan.
Roslin memberitahu, Misbun dilihat seperti bersahaja tetapi tegas dan ketat dengan disiplin, sama ada ketika latihan atau kejohanan.
Beliau berkata, bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, juga sudah 'masak' dengan perang psikologi Misbun kerana dia mempunyai pengalaman berharga 'dibasuh' jurulatih berpengalaman itu.
Tambahnya, pernah semasa latihan, mungkin sebab Chong Wei geram atau marah, dia mencampak raket ke gelanggang dan jatuh di bawah kaki Misbun yang ketika itu menjadi rakan sepelatihnya.
“Akibatnya, Chong Wei 'diperam' selama dua minggu.
"Kelaziman sebelum sesi latihan, Misbun akan beri taklimat dan program buat setiap pelatih tetapi tidak buat Chong Wei.
“Dia bertanya kepada Misbun. 'Awak duduk'. Minggu pertama Chong Wei duduk sebagai penonton tanpa membuat sebarang latihan.
"Minggu kedua Chong Wei minta maaf dan tanya apa salah saya. Misbun kata, 'awak susun shutter'.
“Minggu ketiga Chong Wei bertanya dan saya jelaskan kepadanya.
"Pantang bagi Misbun jika ada pemain campak raket.
"Sebab apa, raket senjata kita, tempat cari makan dan kita berjuang dengan raket,” katanya.
Mengulas lanjut, Roslin turut mendedahkan bahawa Misbun menekankan agar pemain bersikap jujur dan berterus terang atas sebarang masalah, termasuk isu kesihatan.
Bagaimanapun, katanya, Chong Wei yang teruja mahu menyertai kejohanan Seluruh England buat kali pertama cuba menyembunyikan bahawa dia tidak sihat.
“Seminggu sebelum ke England perkara itu diketahui oleh Misbun.
"Apa lagi Chong Wei terus tersisih daripada skuad negara ke England,” katanya.
Justeru, Roslin menggesa pemain era ini menjadikan sebarang kritikan atau teguran sebagai pembakar semangat untuk mereka meningkatkan prestasi seterusnya melakar kejayaan di pentas dunia.
“Apabila bergelar pemain kebangsaan, sama ada profesional atau muda, anda berada di tahap berbeza.
"Membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Jadikan teguran sebagai cabaran untuk bangkit dan balas kritikan dengan kejayaan,” katanya.
--Sinar Harian
#badminton #Roslin Hashim
;