Roslin: BAM perlu percaturan tepat hadapi Sukan SEA-Piala Thomas/Piala Uber
Shaiful Shamsudin
Disember 9, 2021 22:51 MYT
Disember 9, 2021 22:51 MYT
"Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran."
Demikian bekas perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim, melahirkan kegusaran mengenai pertembungan dua kejohanan penting iaitu Sukan SEA Hanoi dan Piala Thomas/Piala Uber tahun depan yang secara tidak langsung memberi cabaran buat kem negara untuk mencapai sasaran realisitik.
Tuan rumah temasya serantau itu, Vietnam, menunda Sukan SEA Hanoi 2021 kepada 12 hingga 23 Mei 2022 selepas dibelenggu penularan COVID-19.
Mengikut kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Piala Thomas dan Piala Uber pula akan diadakan di Bangkok, Thailand, adalah pada 8 hingga 15 Mei 2022.
Ia mencetus konflik tentang sasaran Malaysia memandangkan peluang untuk skuad negara menyinar dalam Sukan SEA adalah lebih baik daripada meraih kejuaraan dalam acara berpasukan itu.
"Skuad negara perlu bahagikan pasukan.
"BAM perlu ada sasaran, bukan sekadar (masuk) untuk penuhkan kuota.
"Cuma BAM perlu bijak buat percaturan pemain (yang akan dipertaruhkan)," kata bekas pemain nombor satu negara itu.
Sebelum ini, BAM menerusi Timbalan Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky, menyasarkan untuk ke final Piala Thomas menuju enam bulan saingan itu.
Namun, Malaysia membawa reputasi sebagai pemegang tiga pingat emas Sukan SEA hasil sumbangan Lee Zii Jia, S. Kisona serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerusi edisi 2019 di Filipina.
Sejak empat edisi sebelum ini, badminton kekal cemerlang menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara dengan kali terakhir mereka gagal berbuat demikian adalah pada 10 tahun lalu iaitu ketika temasya Indonesia 2011.
"(BAM perlu tentukan kejohanan) yang mana perlu diutamakan, cuma saya nampak peluang untuk menang dalam Sukan SEA lebih cerah."