Rexy tuntut skuad wanita bangkit dari kegagalan
Najmi Iman
Mei 1, 2024 22:39 MYT
Mei 1, 2024 22:39 MYT
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, mengakui Skuad Piala Uber negara perlu diperbaiki dengan segera, lebih-lebih lagi dalam sektor perseorangan.
Berdasarkan rekod semasa, Rexy jelas kesal dengan pemain yang tiada 'keinginan' untuk bermain di dalam gelanggang.
"Kita mengharapkan fikiran mereka ketika bermain itu sentiasa fokus dan akan memberikan segalanya buat negara tetapi tidak mencapai jangkaan yang ditetapkan kerana mereka terlalu menghormati pemain lawan," katanya.
Rexy, menjadikan bekas pemain nombor satu dunia, Carolina Marin, sebagai teladan terbaik buat pemain wanita muda negara walaupun beberapa kali mengalami kecederaan lutut, namun kini kembali semula meniti puncak kejayaan.
"Pemain badminton yang lain turut mengalami kecederaan tetapi tetap bangkit untuk memberikan yang terbaik. Di sini, kita lihat pemain Malaysia kerap kali hilang sentuhan meskipun hanya mengalami kecederaan ketika latihan," tambahnya.