Skip to main content

Badminton

Purple League: Zakry yakin skuadnya mampu sekat KB Puchong United

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

zakry10218.jpg
Biarpun pasukannya dilabelkan sebagai bukan pilihan menjelang aksi final Purple League di Arena Of Stars esok, namun ketua jurulatih Kelab Badminton (KB) Kepong, Mohd Zakry Abdul Latif, memiliki strategi tersendiri untuk menyekat lawan mereka, KB Puchong United. 

Sedar mereka bakal berhadapan cabaran getir KB Puchong United yang memiliki  nama-nama besar, antaranya Chou Tien Chen, Tan Kian Meng, Goh Liu Ying, Shevon Jemie Lai, Lai Pei Jing dan Liew Daren, namun Zakry tetap tenang dan percaya kepada kemampuan pemain-pemainnya.

“Apa yang diketengahkan untuk pasukan adalah bermain seperti biasa dan tidak perlu tertekan kerana tiada apa yang merugikan pasukan kami. Itulah yang berjaya diterapkan dalam dua perlawanan peringkat akhir SSPL sebelum ini dan nampaknya ia membuahkan hasil.

“Sebenarnya, saya rasakan situasi di atas gelanggang lebih memainkan peranan penting. Tidak semestinya memiliki ramai pemain ranking tinggi memberikan kelebihan besar, sebaliknya pemain yang mampu mengawal gelanggang dengan baik dan memiliki keyakinan tinggi semasa beraksi, itu lebih penting,” katanya ketika ditemui semalam.

Bekas pemain beregu lelaki kebangsaan itu juga sekali lagi menaruh harapan tinggi kepada pemain perseorangan lelaki utama pasukannya, Dey Subhankar, untuk terus melakar kejutan dalam final.

“Bagi pasukan KB Kepong, pemain perseorangan utama kami (Dey Subhankar) memainkan peranan penting kerana dia membuatkan rakan-rakan lain yang beraksi selepas itu berasa lebih bersemangat melalui cara permainan yang ditunjukkannya dalam setiap perlawanan.

"Pemain yang dikalahkannya di peringkat akhir bukanlah calang-calang tetapi pemain seperti Lee Hyun Il dan Tommy Sugiarto.

“Mengenai KB Puchong United, mereka adalah satu pasukan yang kuat. Bukan mudah untuk menewaskan mereka kalau dilihat daripada segi barisan pemain yang dimiliki mereka.

"Apapun, saya tetap berharap pemain KB Kepong mampu melakukan kejutan sekali lagi seperti mana dilakukan ke atas KB Petaling (playoff) dan KB Cheras dalam separuh akhir semalam,” tambah Zakry.

KB Kepong yang diletakkan sebagai pasukan bukan pilihan selepas sekadar mengakhiri pusingan round robin di kedudukan kelima, berjaya mencipta kejutan demi kejutan di peringkat terakhir SSPL sehingga mara ke final.

Mereka mengatasi pasukan KB Petaling 11-8 di peringkat playoff sebelum sekali lagi mengejutkan pasukan bimbingan Rashid Sidek, KB Cheras, 10-4 dalam aksi separuh akhir semalam.

Sementara itu, aksi penentuan tempat kelima yang berlangsung sebentar tadi dimenangi oleh pasukan bimbingan Yap Kim Hock, KB Petaling. Mereka menang 10-7 mengatasi KB Ampang Jaya, sekali gus mengekalkan kedudukan kelima sama seperti dalam saingan SSPL musim lalu.  

Keputusan penentuan tempat kelima:

KB Ampang Jaya kk KB Petaling 7-10

MS1: Tan Jia Wei kk Tanongsak Saensomboosuk 1-3 (9-11, 6-11, 11-5, 5-11)
WS: Xu Wei kk Zhang Beiwen 2-3 (7-11, 5-11, 11-4, 11-4, 8-11)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail mn Ian Wong Jien Sern-Soh Wooi Yik 3-0 (11-7, 11-3, 11-8)
XD: Chan Peng Soon-Wong Kha Yan kk Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 0-3 (2-11, 9-11, 5-11)
MS2: Yan Runze seri dengan Kenichi Tago 1-1 (8-11, 11-6 Retired)

Advertisement

Must Watch Video