Purple League: KB Ampang Jaya belasah KB Serdang
Penulis Jemputan
Januari 4, 2018 20:26 MYT
Januari 4, 2018 20:26 MYT
Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya kendalian Ho Khek Mong mempamerkan aksi garang dengan membenam KB Serdang 15-1 dalam perlawanan keenam round robin SS Purple League di Sports Arena Sentosa, hari ini.
Kemenangan itu meletakkan KB Ampang Jaya berada dalam landasan tepat untuk mara ke peringkat kedua selaku enam pasukan teratas.
KB Ampang Jaya bermula baik dengan mencatatkan kemenangan dalam acara perseorangan lelaki. Pemain kelab itu, Yan Runze mudah membenam cabaran pemain KB Serdang, Leong Jun Hao, 3-0 (11-5, 11-9, 11-8).
Goh Jin Wei kemudiannya terus meletakkan KB Ampang Jaya 6-0 mendahului set mata keseluruhan apabila menang dalam acara perseorangan wanita dengan mengecewakan pemain KB Serdang, Huang Qiong Hui, 3-0 (11-5, 11-9, 11-3).
Dalam acara beregu lelaki selepas itu menyaksikan KB Ampang Jaya terus garang. Mereka yang diwakili Lukhi Apri Nugroho/Muhd Syawal Ismail mudah mengatasi Ong Wei Khoon/Tan Jinn Hwa, juga dengan 3-0 (11-6, 11-6, 11-9), sekaligus menjarakkan pungutan set mata keseluruhan kepada 9-0.
Dalam kategori beregu campuran pula menyaksikan Chan Peng Soon/Nurul Farisha Malek meneruskan momentum kemenangan KB Ampang Jaya. Mereka menumpaskan Syazmil Idham/Tan Sueh Jeou 3-0 (11-3, 11-5, 11-7) untuk melebarkan kedudukan set mata keseluruhan kepada 12-0.
Zulfadli Zulkiffli, yang turun dalam satu lagi acara perseorangan lelaki, memuktamadkan hari gemilang KB Ampang Jaya selepas menang 3-1 (11-7, 11-4, 7-11, 11-6) ke atas Lee Zii Jia.
“Walaupun menang 3-0 ke atas lawan tadi tetapi bagi saya ianya bukanlah satu persembahan yang terbaik kerana pergerakan saya agak perlahan dalam perlawanan tadi. Pada set kedua, saya juga hampir hilang fokus mujurlah berjaya bangkit menang," kata Jin Wei.
“Saya rasa aksi saya dalam 4-5 perlawanan setakat ini untuk KB Ampang Jaya agak memuaskan juga tetapi harap dapat memperbaikinya lagi menjelang peringkat kedua Purple League nanti.
"Saya mengharapkan untuk terus memberikan sumbangan yang terbaik kepada kelab ini kerana apa-apa saja boleh berlaku dalam sistem 11 mata. Paling penting, kami akan berusaha untuk mencapai sasaran yang diletakkan oleh jurulatih, Khek Mong."
Enam pasukan teratas akan layak ke peringkat kedua SS Purple League 2017/18 sebelum mereka beraksi dalam peringkat akhir kejohanan di Arena Of Stars, Resorts World Genting, dari Isnin hingga 11 Februari nanti.
Keputusan:
KB Ampang Jaya mn KB Serdang 15-1
MS2: Yan Runze mn Leong Jun Hao 3-0 (11-5, 11-9, 11-8)
WS: Goh Jin Wei mn Huang Qiong Hui 3-0 (11-5, 11-9, 11-3)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail mn Ong Wei Khoon-Tan Jinn Hwa 3-0 (11-6, 11-6, 11-9)
XD: Chan Peng Soon-Nurul Farisha Abd Malek mn Mohd Syazmil Idham-Tan Sueh Jeou 3-0 (11-3, 11-5, 11-7)
MS1: Zulfadli Zulkiffli mn Lee Zii Jia 3-1 (11-7, 11-4, 7-11, 11-6)