Skip to main content

Badminton

Purple Leage: Kay Lun gesa aksi lebih kemas KB Petaling Jaya

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ho-yen-mei.jpg
Juara bertahan SS Purple League (SSPL), Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya, menamatkan liga sepusingan dengan menundukkan KB Kepong 12-11 di Sports Arena, sebentar tadi.

Biarpun berjaya mara ke pusingan seterusnya, namun aksi tidak konsisten dengan status selaku juara bertahan nyata mengundang rasa tidak puas hati jurulatihnya, Yeoh Kay Lun.

“Saya berasakan perlawanan tadi adalah 50-50, kita tengok perlawanan terakhir dalam perseorangan lelaki tadi, sepatutnya Lee Cheuk Yiu boleh menang lebih awal kerana dia adalah pemain yang mengamalkan corak permainan serangan pantas. Tetapi, kelajuannya berkurangan tadi.

“Sebenarnya, kami mempunyai pemain berkualiti tinggi, namun prestasi mereka dalam empat perlawanan terakhir sangat teruk.

"Mereka menjalani latihan setiap hari tetapi tetap melakukan kesilapan mudah. Kita tengok perkara sama berlaku dalam acara beregu, biarpun dah lama berpasangan tetapi masih melakukan kesilapan mudah.

"Saya harap mereka mengubah mentaliti mereka selepas ini dan lebih fokus di peringkat kedua,” katanya selepas tamat perlawanan tadi.

KB Petaling Jaya terlebih dulu meraih mata dalam acara perseorangan lelaki selepas pemainnya, Goh Giap Chin, menang mengatasi lawannya, Nuraidil Adha Azman. Biarpun menerima tentangan sengit daripada Nuraidil, Giap Chin berjaya mengawal set penentuan dengan baik untuk menang tipis 3-2 (10-11, 11-4, 11-7, 9-11, 11-6). 

Selepas itu, giliran KB Kepong pula menguasai acara perseorangan wanita. Ho Yen Mei menang 3-1 (11-7, 11-9, 10-11, 11-6) selepas mengatasi pemain KB Petaling Jaya, Lee Zii Yii.      

Acara beregu lelaki selepas itu menyaksikan KB Kepong terus menguasai perlawanan. 

Gandingan beregu lelaki pasukan itu, Nur Mohd Nazriyn Ayub-Tan Chee Tean, mengatasi Jagdish Singh-Low Juan Shen 3-2 (11-6, 9-11, 10-11, 11-10, 11-6) untuk menjadikan KB Kepong mendahului dengan set mata keseluruhan 8-6.  

Saingan semakin rancak dalam acara beregu campuran apabila KB Petaling Jaya kembali merampas kemenangan. Pasangan pasukan itu, Goh Yea Ching-K. Yogendran menang 3-1 (9-11, 11-9, 11-10, 11-8) ke atas Cheah Yee See-Goh Soon Huat, sekaligus mengikat kedudukan menjadi 9-9. 

Lee Cheuk Yiu yang turun dalam satu lagi acara perseorangan lelaki memastikan kemenangan milik KB Petaling Jaya. Dia menang tipis 3-2 (5-11, 11-6, 9-11, 11-9, 11-8) dengan mengalahkan Lim Chi Wing dari KB Kepong.

Enam pasukan teratas saingan liga SSPL akan layak ke peringkat seterusnya. Mereka akan mengharungi peringkat kedua sebelum bersaing di peringkat akhir SSPL di Arena Of Stars, Resorts World Genting dari 8 hingga 11 Februari ini.


 

Advertisement

Must Watch Video