BADMINTON
Projek Ramadan: Cheah Liek Hou hulur bantuan Aidilfitri kepada bekas atlet para negara
Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou, mencuri tumpuan apabila tampil menghulurkan bantuan Aidilfitri kepada dua bekas atlet para negara, iaitu Hanapiah Mohamud (bekas atlet para badminton) dan Yahya Ahmad (bekas atlet berbasikal).
Inisiatif murni itu mendapat perhatian ramai apabila Liek Hou, yang dikenali sebagai juara Paralimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, mengambil peluang untuk membantu mereka yang memerlukan menjelang sambutan Hari Raya.
Hanapiah dan Yahya pernah mengharumkan nama negara dalam bidang masing-masing, dan sumbangan ini diharap dapat meringankan beban mereka serta menceriakan sambutan perayaan yang bakal tiba.
Iklan
“Dia baguslah untuk maju dalam sukan ini dia bersungguh-sungguh. Dia konsisten berlatih, masa dengan saya umur dia masih muda 15 tahun. Tidak pernah ponteng latihan sentiasa ada sahaja. Keluarganya pun sentiasa beri sokongan, kata Hanapiah kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Yahya juga menyatakan terima kasih kepada Liek Hou, “Terima kasih sebab rakan-rakan sukan ambil berat kepada kita.
Tindakan Liek Hou menerima pujian ramai kerana menunjukkan keprihatinan dan semangat setia kawan terhadap bekas atlet yang pernah berjuang untuk Malaysia.
“Apa yang saya nampak Abang Yahya ini dia nampak masih cergas walaupun umurnya sudah 71 tahun iaitu saya awalnya macam tidak boleh percayalah nampak dia sembang masih bagus. Harapa dia dapat kekalkan kesihatan begini untuk dijadikan inspirasi kepada semua, kata Like Hou ketika bertemu dengan Yahya di kediamannya di Puchong.
“Saya nampak tiba-tiba Abang Hanapiah, Astro Arena ada temubual dengan dia dan YAKEB pun datang melawat dia beri sumbangan. Jadi saya pun rasa nak jugalah hadir melawat berikan bantuan dari pihak saya," tambahnya.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Shapawi Ismail, memuji tindakan pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou, kerana menyambut baik inisiatif Projek Ramadan anjuran Astro Arena.
Menurut Datuk Shapawi, usaha murni Liek Hou yang turut menghulurkan bantuan Aidilfitri kepada bekas atlet para badminton, Hanapiah Mohamud, dan bekas atlet berbasikal, Yahya Ahmad, menunjukkan keprihatinan serta nilai kemanusiaan yang tinggi.
"Inisiatif ini sangat bermakna, terutama dalam bulan mulia ini. Kehadiran atlet seperti Liek Hou memberi sokongan moral dan membuktikan rasa hormat terhadap bekas atlet yang pernah berjasa kepada negara," katanya.
Must-Watch Video