BADMINTON

Program RTG satu bonus buat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin

22/01/2025 | 23:53 MYT
Legenda beregu badminton negara, Datuk Razif Sidek, menyifatkan gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mendapat ‘bonus’ apabila ditawarkan untuk menyertai program Road To Gold (RTG).
Justeru, Razif mengingatkan juara Terbuka India Super 750 itu supaya bijak merangka perancangan jangka panjang bagi menghindari 'sindrom lesu awal' dalam perjalanan karier badminton mereka.
Pada Selasa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa Jawatankuasa RTG menawarkan tempat untuk Sze Fei-Nur Izzudin berada dalam program berkenaan.
Ia susulan lonjakan prestasi ditunjukkan gandingan nombor dua dunia itu yang meletakkan mereka sebagai calon berpotensi meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Hannah juga akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemain berkenaan bagi membincangkan mengenai bentuk sokongan atau bantuan yang diperlukan mereka.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Sze Fei-Nur Izzuddin perlu konsisten menjaga kedudukan ranking dunia mereka.
“Ya, tidak dinafikan kedudukan ranking setiap pemain akan sentiasa berubah itu sudah pasti, itu cabaran kepada Sze Fei dan Nur Izzuddin.
“Sekarang mereka nombor dua dunia. Ranking kena jaga supaya tidak jatuh dalam kelompok 15 hingga 20 dunia,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada masa sama, Razif yang memuji Jawatankuasa RTG dalam melakukan persediaan awal lebih rapi dalam merealisasi misi emas sulung negara di Olimpik.
“Satu tawaran baik untuk perjalanan karier mereka berdua pada awal musim selepas menjuarai Terbuka India.
“Ini juga secara tidak langsung dapat meringankan bebanan mereka yang kini bergerak sebagai pemain profesional.
“Paling penting menerusi RTG mereka akan mendapat sokongan sains sukan aspek psikologi, fisioterapi, analisis video dan lain-lain lagi,” katanya.
Razif juga sekali lagi mengingatkan Sze Fei-Nur Izzuddin untuk lebih bijak memilih pertandingan yang mahu disertai dalam perjalanan menuju LA28.
“Pemilihan ini penting bagi elak burn out awal selain menghindari kecederaan yang berpotensi menjejaskan prestasi mereka,” katanya.
Tugasan antarabangsa seterusnya buat Sze Fei-Izzuddin adalah Seluruh England yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 Mac depan.
INFO:
- Ketika awal RTG diperkenalkan pada Mac 2023, tiga pasangan profesional disenaraikan iaitu beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tetapi mereka tidak berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
- Bagaimanapun, sepanjang tempoh mereka berada dalam program berkenaan banyak bantuan dan sokongan yang diterima daripada Jawatankuasa RTG.
- Antaranya, pembiayaan untuk pembelian peralatan, pembiayaan untuk tempat latihan dan pembiayaan untuk pertandingan luar negara dalam saingan Jelajah Dunia BWF.
- Pemain juga menerima sokongan sains sukan yang khusus iaitu jurulatih kecergasan fizikal, jurulatih analisis data prestasi, ahli fisioterapi, pakar pemakanan dan tukang urut untuk semua kejohanan Jelajah Dunia BWF selain elaun bulanan sebanyak RM3,000. -- Sinar Harian
#badminton #Goh Sze Fei #Razif Sidek #Nur Izzuddin Rumsani
;