BADMINTON

PLJ 2018: Liew Daren mampu pacu pemain muda Cheras BC pertahan gelaran

Penulis Jemputan 10/10/2018 | 08:14 MYT
Sembilan pasukan akan bersaing untuk merebut kejuaraan Divisyen Satu manakala sepuluh lagi pasukan bakal memberikan cabaran dalam Divisyen Dua saingan Purple League Junior (PLJ) 2018 yang akan bermula di Desa Petaling Sports Complex, Sabtu ini.
Pasukan yang akan bersaing dalam Divisyen Satu adalah Kelab Badminton Bukit Cheras (Bukit Cheras BC), Puchong United BC, Petaling Jaya BC, Rawang BC, Kepong BC, Petaling BC, Bandar Maharani BC, Ampang Jaya BC dan Cheras BC.
Sepuluh pasukan dalam Divisyen Dua PLJ 2018 pula ialah Desa Petaling BC, Tebrau City BC, Amanjaya BC, Ayer Itam BC, Georgetown BC, Serdang BC, Kuantan Synergy BC, PGBC, Klang Rising BC dan Ipoh BC.
Jika tahun lalu, Divisyen Satu diungguli oleh Kelab Badminton Cheras (Cheras BC) dan Bukit Cheras BC pula gah selaku juara Divisyen Dua Purple League Junior, saingan musim ini juga pastinya menarik.
Bagi Cheras BC selaku juara bertahan, mereka mengharapkan untuk terus dapat mempertahankan kejuaraan yang dimenangi. Malah, kehadiran Liew Daren untuk bersama Cheras BC adalah satu ilmu yang pastinya menjadi senjata terbaik buat pemain remaja kelab itu.
Daren yang berpengalaman luas dalam dunia sukan badminton antarabangsa juga telah mencurahkan segala ilmu yang ada kepada “adik-adiknya” di Cheras BC apabila telah menjalani latihan secara 'sparring' dengan pemain muda Cheras BC.
Antara pemain muda Cheras BC yang dijangka bakal menyerlah dalam saingan PLJ 2018 nanti adalah pemenang pingat perak Sukan Malaysia (SUKMA) baru-baru ini, Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Pengurus kelab itu, Raezal Mohamed Hussein, berkata, “Kami harap kehadiran Liew Daren akan memberikan lagi keyakinan dan contoh kepada pemain muda seperti Aidil untuk menyinar di pentas antarabangsa. Aidil telah bersama kami selama empat tahun dan kami boleh lihat pemain itu semakin hari semakin menunjukkan peningkatan dalam permainannya,” kata Raezal.
“Selain Aidil, kami juga memiliki Pearly Tan Koong Le yang juga merupakan pemenang pingat perak Sukan Malaysia (SUKMA) baru-baru ini serta juara kebangsaan B-18 kategori beregu perempuan.
"Selain mereka, kami ada bawa pemain import dari Indonesia seperti Sekar Maji Bening Nur Kholifah, Andre Timotius Tololiu dan Rizqulloh Dwi Prasetyo untuk bersaing dalam PLJ,” ujar Raezal.
Aidil, 18, yang berasal dari Selangor merupakan pemain pertama dari kelab yang mewakili Malaysia dalam Kejohanan Remaja Dunia di Jakarta tahun lalu di mana dia menamatkan saingan dalam pusingan ketiga. Dia juga bakal mewakili negara dalam Kejohanan Remaja Dunia, November depan.
Pemain senior, Daren, 31, pula meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dua tahun lalu dan menyertai Puchong United BC dalam saingan Senheng Purple League. Bagaimanapun, dia membuat keputusan untuk berhijrah menyertai Cheras BC musim ini. Daren juga melakar kejayaan meraih gangsa dalam Kejohanan Dunia baru-baru ini.
PLJ 2018 yang bakal memasuki musim keempat menyaksikan Petaling BC unggul selaku juara pada tahun 2015 dan 2016 sebelum Cheras BC berjaya memecah tembok bagi bergelar juara kali pertama tahun lalu. Pasukan Cheras BC dikendalikan legenda badminton negara, Rashid Sidek.
PLJ 2018 akan berlangsung di tiga venue berbeza, iaitu di Desa Petaling Sports Complex (13 dan 14 Oktober), Sports Arena Puchong (27 dan 28 Oktober) serta The Challenger Sports Centre Ampang (3 dan 4 November).
;