BADMINTON
Piala Thomas: James Selvaraj jangka peningkatan prestasi skuad negara
Legenda badminton kebangsaan, Datuk James Selvaraj, yang memuji persembahan kem negara di peringkat Kumpulan D, Piala Thomas, biarpun tewas tipis 2-3 kepada Denmark.
Dengan persembahan memberangsangkan malam tadi, dia turut menjangkakan Malaysia pasti sudah dapat menemui rentak sebenar dalam suku akhir tanpa mengira lawan mana yang bakal ditemui.
Mengulas tentang beregu bidan terjun dalam saingan di Chengdu, China itu, dia percaya ia langkah bijak sekiranya skuad kebangsaan bertemu dengan lawan yang lemah.
"Pasukan lelaki negara perlu diberi pujian biarpun kecundang.
"Bagus kalau jumpa pasukan kerdil tapi bila jumpa pasukan sebaliknya, sukar untuk memenangi kejohanan menerusi gandingan bidan terjun.
"Ada masanya ia menjadi dan tidak, kebanyakannya gagal menyerlah. Jadi lebih baik (kontinjen Malaysia) kekalkan gandingan asal," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.