Piala Thomas: Daren sedia kongsi pengalaman dengan pelapis

Shaiful Shamsudin
April 14, 2022 20:33 MYT
Pemain profesional negara, Liew Daren, teruja disenaraikan ke kem latihan berpusat badminton negara menjelang Piala Thomas dan optimis mampu meraih slot ke saingan di Bangkok itu pada bulan depan.
Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, pemain di ranking ke-35 dunia itu mahu berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana masih menaruh kepercayaan ke atasnya untuk mengglas amanah negara.
"Senarai nama ini belum muktamad.
"Kita perlu tunggu sampai minggu depan tapi buat sementara ini saya teruskan persiapan.
"Sebelum ini saya tidak dimaklumkan apa-apa tentang peluang ke Piala Thomas ini tapi kebelakangan ini, saya mula menerima sedikit perkembangan," katanya ketika dihubungi.
Daren, 35, percaya sekiranya terpilih dia akan beraksi sebagai perseorangan kedua dan mampu berkongsi pengalamannya -- dalam final Piala Thomas 2014 -- dengan pemain-pemain muda skuad negara.
"Saya boleh tawarkan aspek pengalaman kepada pelapis BAM, saya akan cuba beri nasihat kepada mereka.
"Piala Thomas bukan sahaja penting untuk atlet, malah peminat Malaysia selepas kali terakhir memenanginya pada 1992.
"Saya harap kami dapat bersatu dan membentuk semangat yang ampuh.
"Saya pasti akan diturunkan sebagai perseorangan kedua. Saya harap dalam seminggu dua ini kami dapat mencapai kesefahaman.
"Saya sangat teruja untuk bersama pasukan negara dan berharap situasi kali ini akan menjadi lebih baik," katanya.
#badminton #BAM #Piala Thomas
;