Skip to main content

Badminton

Piala Sudirman: Vivian,Khe Wei enggan ulangi mimpi ngeri 2013

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

woon-khe-wei.jpg
Beregu wanita utama negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, enggan igauan buruk tahun 2013 berulang di Gold Coast apabila Malaysia turun memulakan kempen Kejohanan Badminton Piala Sudirman menentang Jerman dalam aksi Kumpulan C, esok.

Masih terngiang-ngiang dalan ingatan kedua-dua pasangan negara ini bagaimana mereka tewas dalam perlawanan penentuan Piala Sudirman 2013 di Kuala Lumpur ketika kedudukan terikat 2-2.

Kekalahan itu sekaligus menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat kumpulan yang membawa kepada kritikan hebat terhadap prestasi pasukan negara.

"Kami ingat lagi kami tewas dalam aksi tiga set. Tetapi semuanya sudah kami lupakan, kali ini kami memang sudah bersedia untuk menghadapi Jerman," ujar Vivian.

Sementara itu, Khe Wai mengakui menyesali apa yang berlaku empat tahun lalu itu dengan berkata: "Memang ada menyesal kerana ketika itu kami tewas di laman sendiri. Harap kali ini kesilapan sama tidak akan diulangi."

Sedar betapa pentingnya menyumbangkan mata kepada Malaysia untuk memastikan malam hitam 2013 tidak berulang, Vivian berpendapat faktor pengalaman bakal memberi kelebihan dalam pertemuan kali ini.

Bagaimanapun, mereka kekal berwaspada supaya tidak dijerat dengan kesilapan sendiri.

"Kali ini peluang kami untuk menang lebih tinggi tetapi kami tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan, apatah lagi mereka memiliki satu pasangan yang beraksi baik kebelakangan ini," tambah Vivian.

Edisi di Kuala Lumpur menyaksikan Malaysia tewas dalam tiga acara wanita, iaitu perseorangan, beregu dan beregu campuran.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, berkata skuad Jerman kali ini tidak sama seperti tahun  2013 yang ketika itu memiliki ramai pemain berbakat.

Berbeza kali ini di Gold Coast, Malaysia tampil dengan barisan skuad wanita yang lebih seimbang dan tampak memiliki kelebihan untuk mengatasi Jerman.

Malaysia bakal menurunkan barisan terkuat yang terdiri daripada perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei; beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong;  perseorangan wanita, Goh Jin Wei;  beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei; serta beregu campuran Lai  Peng Jing-Tan Kian Meng.

Dengan kemenangan menjadi sasaran utama sebelum pertemuan penting berdepan Jepun lusa, barisan kejurulatihan negara enggan  mengambil risiko yang tidak sepatutnya ketika menentang Jerman.
 

Advertisement

Must Watch Video