Piala Sudirman: Malaysia buka kempen dengan mudah atasi Australia
Muzaffar Musa
Mei 14, 2023 13:23 MYT
Mei 14, 2023 13:23 MYT
MALAYSIA 5 AUSTRALIA 0
Skuad badminton negara membuka kempen Piala Sudirman 2023 dengan kemenangan selesa 5-0 ke atas Australia dalam perlawanan pertama kumpulan C di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, China sebentar tadi.
Beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, memberikan mata pertama buat sekuad negara apabila hanya memerlukan 28 minit untuk mencatatkan kemenangan ke atas Kenneth Choo-Gronya Somerville.
Meneruskan rentak kemenangan itu adalah perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia, yang mempamerkan dominasi penuh sebelum mencatatkan kemenangan 21-3, 21-13 selepas hanya 25 minit pertarungan.
Perseorangan wanita berusia 20 tahun, K. Letshanaa, memberikan mata ketiga apabila menewaskan Tiffany Ho 21-19, 21-12 sebelum gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menewaskan Rayne Wang-Jack Yu 21-7, 21-4 dalam acara beregu lelaki.
Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, kemudian melengkapkan kemenangan bersih skuad negara dengan menewaskan Kaitlyn Ea-Gronya Somerville 21-12, 21-13.
Malaysia seterusnya akan bertemu India bagi perlawanan kedua esok, di mana kemenangan dalam perlawanan itu akan mengesahkan kemaraan skuad negara ke suku akhir.