BADMINTON

Piala Sudirman: Bukan rezeki Malaysia ke final, kata Aaron Chia

Sinar Harian 20/05/2023 | 09:24 MYT
Skuad badminton Piala Sudirman 2023 sebenarnya memiliki karakter untuk mara ke perlawanan akhir acara berpasukan dunia di Shuzou, China itu.
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, berkata secara keseluruhan, itu semangat dan keazaman dimiliki skuad Piala Sudirman kali ini walaupun perjalanan mereka disekat Korea Selatan di pentas separuh akhir hari ini.
"Biarpun kami mencapai sasaran separuh akhir yang ditetapkan sebelum ini, sebenarnya saya percaya skuad negara boleh buat lebih baik untuk mara ke perlawanan akhir.
"Tapi, kadang-kala kita perlu terima bahawa rezeki tidak memihak kita biarpun telah memberikan sehabis baik dalam perlawanan.
"Begitupun, secara keseluruhan, semua pemain telah memberikan aksi terbaik masing-masing, malah sentiasa menyalakan semangat perjuangan rakan-rakan," katanya selepas perlawanan itu.
Hasrat skuad negara untuk ke perlawanan akhir buat kali pertama tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam separuh akhir.
Dalam perlawanan pertama, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tewas kepada Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 21-11, 13-21, 7-21.
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, kembali menyalakan harapan apabila menyamakan kedudukan dengan menjinakkan Jeon Hyeok Jin 21-11, 21-9.
Bagaimanapun, dalam perlawanan ketiga, pemain perseorangan wanita muda negara, K. Letshanaa, tewas 10-21, 13-21 kepada An Se Young.
Impian skuad negara untuk kembali ke dalam saingan itu tidak kesampaian apabila Aaron-Soh Wooi Yik, tewas kepada Kim Win Ho-Na Sung Seung 12-21, 11-21.
Dalam pada itu, Wooi Yik memohon maaf kepada rakyat Malaysia khasnya penyokong badminton negara selepas pasangan juara dunia tersebut gagal menyumbang mata buat pasukan.
"Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia dan penyokong kerana kami tidak dapat menyumbang mata kepada pasukan negara.
"Kami telah memberikan sehabis baik untuk menang perlawanan ini, namun hari ini sebaliknya yang berlaku.
"Terima kasih kepada penyokong-penyokong yang sentiasa sokong kami selama ini, masih banyak lagi pertandingan yang akan diharungi lagi selepas ini," katanya.
Sebagai rekod, pencapaian separuh akhir Shuzou 2023 ini menyamai edisi di Guangzhou pada 2009 dan di Vantaa pada 2021.
Kredit: Sinar Harian
#badminton #Piala Sudirman #Aaron Chia #Soh Wooi Yik
;