Piala Sudirman 2023: BAM tidak terburu-buru namakan pengganti Justine Hoh
Shaiful Shamsudin
April 12, 2023 19:31 MYT
April 12, 2023 19:31 MYT
Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Tim Jones, mengumumkan barisan terbaik untuk menghadapi Piala Sudirman 2023.
Malaysia yang akan bertemu China, Jepun dan negara jiran indonesia dalam satu kumpulan menurunkan pemain terbaik negara untuk mengungguli cabaran itu.
Dalam masa sama, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann, turut berkongsi mengenai perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, yang menjalani pembedahan hari ini akibat kecederaan tumit.
Bagaimanapun, pengganti ketua skuad badminton ke Sukan SEA 2023 masih dalam perbincangan lanjut bersama barisan jurulatih dan persatuan.
"Dalam masa dua hari ini, kami sedang menilai bagaimana untuk membantu Justin. Jadi selepas itu kami pertimbangkan penggantinya.
"Kami masih ada masa lagi untuk buat pengumumannya, kami tiada tarikh akhir. Biar kami buat analisis dan perbincangan dengan (barisan) kejurulatihan.
"Selepas menilai prestasi pemain dalam sesi latihan, barulah kami putuskan siapakah yang layak untuk menggantikan tempatnya," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.