Piala Dunia FINA: Nur Dhabitah Sabri resah kecederaan berlarutan

Shaiful Shamsudin
Mei 3, 2023 17:12 MYT
Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, yang baru sahaja sembuh daripada kecederaan lutut kini berlarutan kepada masalah di bahagian pergelangan tangan pula.
Situasi yang agak serius itu secara tidak langsung menyekat peluangnya untuk beraksi dalam Piala Dunia FINA di Kanada yang bermula Jumaat ini.
Namun, dia berharap sempat sembuh sepenuhnya sebelum berlepas ke Jepun untuk pusingan Piala Dunia di pertengahan Julai depan.
"Permulaan tahun ini bukan yang bagus daripada saya.
"Pemulihan ini boleh sampai (memakan masa) sebulan dan mungkin lebih.
"Saya sedikit terkilan pada mulanya tetapi saya perlu dengar tubuh badan saya," katanya ketika ditemu bual di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Nur Dhabitah yang turut baru mendirikan rumah tangga bersama pelawak dan pengacara, Jiggy Masin, minggu lalu bersyukur suaminya memahami perjalanan kariernya selain menyasarkn untuk memberi lebih fokus terhadap membina keluarga selepas selesai Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
"Saya masih ada sasaran untuk dituju. Saya dan suami sudah berbincang dan dia memahami.
"Tapi kalau dapat pingat dalam Olimpik Paris, sasaran itu mungkin berubah.
"Lagipun untuk Olimpik Los Angeles, ketika itu saya sudah berumur 29 tahun dan badan saya mungkin tidak lagi mahu memberi kerjasama," katanya.
#Terjun #Piala Dunia FINA
;