Petronas Terbuka Malaysia: Ya kami sudah bersedia buru slot final -- Shevon
Ammar Hakim
Januari 10, 2025 17:25 MYT
Januari 10, 2025 17:25 MYT
Pemain beregu campuran negara, Shevon Lai bersama gandingannya, Goh Soon Huat, sedia menamatkan penantian Malaysia untuk melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.
Axiata Arena menjadi saksi buat gandingan dua sejoli, Soon Huat-Shevon, yang mencipta sejarah tersendiri apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia buat pertama kali sejak membuat penampilan pada edisi 2018.
Menewaskan pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi, 21-15, 22-20, membawa mereka ke separuh akhir.
Menanti mereka pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, dengan slot ke final menjadi buruan.
Selepas tamat perlawanan, mereka sempat ditemubual oleh Astro Arena, Soon Huat, "Terima kasih kepada yang hadir memberikan sokongan buat kami sepanjang permainan."
Shevon berkongsi, "Sebelum ke gelanggang, kami telah membuat persiapan secara psikologi. Ini merupakan perlawanan yang sangat baik dan berjaya mengikut rentak permainan lawan. Sebelum berjaya memperoleh kemenangan.
"Ketenangan menjadi kunci kemenangan kami dalam set kedua sekaligus melangkah ke separuh akhir.
"Pengalaman kami menjadi pemisah, ketika dalam situasi penting, kami berjaya memperoleh mata dalam perlawanan kali ini.
Apabila ditanya tentang peluang ke final, Shevon berkata, "Ya, kami sudah bersedia, namun kami tetap melihat perlawanan demi perlawanan dan membuat perancangan yang terbaik sebelum turun ke gelanggang."