Pemain beregu campuran negara, Shevon Lai, berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dapat menilai semula peraturan rawatan baru menjelang saingan Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia di Arena Axiata minggu depan.
Peraturan baru BWF memperuntukkan pemain hanya boleh diberikan rawatan sewaktu interval, sekali gus menyebabkan beberapa pemain utama dunia berdepan kecederaan jangka panjang.
Shevon mengakui terkesan dengan nasib yang menimpa perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang mengalami kecederaan buku lali dalam saingan peringkat kumpulan Final jelajah Dunia BWF di Hangzhou bulan lalu sehingga terlepas saingan Terbuka Malaysia.
"Saya fikir daripada aspek perubatan, saya tidak rasa ia satu idea yang baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Saya dapat lihat ramai pemain mengalami kecederaan di atas gelanggang dan tidak menerima rawatan segera.
"Mungkin mereka berasakan ada pemain yang menggunakan keadaan itu untuk melambatkan permainan tetapi buat pemain yang benar-benar cedera, ia mematahkan hati mereka kerana mereka telah memberikan segala-galanya di atas gelanggang dan mereka berada dalam kesakitan disebabkan situasi itu.
"Ia amat menyedihkan buat pemain dan saya berharap BWF akan menilai semula peraturan ini dan membenarkan pemain mendapatkan rawatan ketika mereka memerlukannya," katanya.
Muzaffar Musa
Sun Jan 05 2025