Petronas Terbuka Malaysia: Malaysia ialah tempat istimewa -- Perseorangan wanita Thailand

Najmi Iman
Januari 9, 2025 07:34 MYT
Malaysia ialah tempat yang istimewa buat perseorangan wanita Thailand, Ratchanok Intanon, yang sudah memenangi empat gelaran dalam tempoh enam tahun di Kuala Lumpur.
Pemain berusia 30 tahun itu merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia pada 2016 sebelum memenangi Malaysia Masters sebanyak dua kali berturut-turut pada 2018 dan 2019.
Pemain di ranking ke-16 dunia itu meraih gelaran keempatnya di negara ini apabila berhasil menamatkan Terbuka Malaysia 2022 dengan pencapaian yang menakjubkan.
“Saya sangat seronok bermain di sini. Dulu orang ramai memberitahu saya bahawa saya mempunyai banyak rezeki bermain di Malaysia, tetapi saya tidak percaya.
"Kemudian saya mula mempercayainya selepas menang lebih banyak trofi di sini.
"Saya rasa saya mempunyai keupayaan untuk menghasilkan beberapa prestasi terbaik saya di sini," katanya kepada Stadium Astro.
Intanon baru berusia 18 tahun apabila mencipta sejarah dengan menjadi juara dunia, sekali gus merupakan perseorangan termuda apabila menewaskan pemain nombor satu dunia ketika itu dan juara bertahan Sukan Olimpik, Li Xuerui, pada 2013.
Wakil Thailand itu akan bertemu negara jiran, Putri Kusuma Wardani, dalam pertembungan suku akhir, hari ini.
#badminton #Thailand #Ratchanok Intanon #Petronas Terbuka Malaysia
;