Beregu nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, terpaksa mengucapkan selamat tinggal dengan kejohanan pembukaan musim 2025, susulan tewas kepada pasangan Denmark, Mads Vestergaard-Daniel Lundgaard, di Axiata Arena, sebentar tadi.
Set pertama menyaksikan Sze Fei-Izzuddin ketinggalan 7-11 di interval sebelum deretan kesilapan dan permainan agresif yang ditampilkan pasangan Denmark itu berjaya memastikan mereka menang 21-15.
Menyaksikan beregu nombor satu negara itu ketinggalan dalam set pertama membuatkan Axiata Arena diam seketika, namun kembali rancak menerusi persembahan mereka dalam set berikutnya.
Mendahului 11-7 di interval, dengan permainan di jaring menjadi kekuatan mereka sebelum memenangi set kedua 21-9 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Kedua-dua beregu memberikan segala kudrat dalam set penentuan, mempamerkan corak permainan yang cukup berkualiti dengan pukulan yang kencang serta gerakan di jaring yang cukup memukau.
Terikat 14-14, keadaan makin membimbangkan buat pasangan negara yang ketinggalan 15-17 sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 18-21.
Ammar Hakim
Tue Jan 07 2025