Bekas pemain badminton terbaik dunia, Peter Gade Christensen, akan memperkuat barisan kejurulatihan pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik, Victor Axelsen.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pemain nombor satu dunia itu menerusi kenyataannya di X apabila melakukan rombakan dalam pasukannya bagi menghadapi musim yang lebih mencabar, tahun depan.

“Selepas memenangi emas kedua Sukan Olimpik di Paris, sekarang adalah masa yang sesuai untuk membuat sedikit perubahan bagi membantu saya,” kata Axelsen menerusi media sosial.



"Saya amat gembira untuk mengumumkan bahawa Peter Gade akan menyertai pasukan bimbingan saya dan, bersama-sama dengan P. K. Rohde, akan menjaga latihan dan kejurulatihan saya untuk bergerak ke hadapan.

“Saya sangat gembira dapat berlatih bersama Peter kerana pengetahuan badminton yang digabungkan dengan pengalaman bermain sehingga 30-an, saya yakin dia akan membantu saya menangani beberapa cabaran yang akan saya hadapi," katanya.

Sebagai rekod, Peter Gade merupakan salah satu musuh kepada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, dan sudah memenangi beberapa gelaran serta menjadi pemain nombor satu Denmark sebelum mengumumkan persaraan.