Pemain badminton remaja kebangsaan disyaki dera anjing?


Julai 3, 2024 15:02 MYT
Dua hari lalu, figura yang pernah tular di media sosial tahun lalu kembali mencetuskan kemarahan ramai apabila dilihat memukul anjing peliharaannya dengan ganas dan tidak menampilkan sifat perikemanusiaan.
Perbuatannya sempat dirakam saksi yang kemudian memuat naik video berkenaan sambil merayu agar haiwan malang itu segera diselamatkan.
Berikutan kejadian itu, aktivis haiwan, Shima, Aris tampil ke lokasi dan berjaya memujuk seorang pemain remaja kebangsaan (berdasarkan laman sesawang Persatuan Badminton Malaysia ) tersebut agar menyerahkan anjing terbabit untuk dibawa ke lokasi yang lebih selamat.
Menerusi hantaran di Instagram, pengendali akaun @myforeverdoggo menjelaskan anjing tersebut yang diberi nama Kitster kini berada dalam jagaan sebuah klinik haiwan.
“Pemeriksaan jelas mendapati haiwan malang itu berada dalam ketakutan dan dilanda trauma yang amat dalam.
“Pendera juga mengaku, ini bukan kali pertama Kitster dibelasah,” katanya.
Pengendali akaun itu, bagaimanapun berkata, Kitster bakal diserahkan kembali kepada tuannya selepas lelaki berkenaan membuat laporan polis dan mendakwa anjing miliknya telah dicuri.
“Shima sekarang perlu menyerahkan Kitster kembali kepada pemiliknya atau kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV).
“Jika pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal ditemui pada Kitster, hanya pemilik haiwan itu berhak menuntut anjing itu,” katanya.
#badminton
;