Paris 2024: Saya terlalu beremosi -- Chen Tang Jie janji bangkit dalam edisi berikutnya

Muzaffar Musa
Ogos 1, 2024 22:45 MYT
Beregu campuran negara, Chen Teng Jie, menjelaskan sebab mengapa dia terlalu beremosi sebaik terkandas di peringkat suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 awal pagi tadi.
Perjuangan Tang Jie bersama gandingannya, Toh Ee Wei, terhenti selepas tewas secara set langsung 19-21, 14-21 kepada pasangan Korea Selatan, Kom Won Ho-Jeong Na Eun di Porte de la Chapelle Arena.
Tang Jie selepas perlawanan itu jelas tidak dapat mengawal emosinya dan mengulas mengenai perkara itu, dia berkata kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani: "Saya terlalu mahukannya.
"Saya tidak sepatutnya seemosi itu tadi tetapi selepas habis perlawanan, saya menghargai semuanya dan sewaktu turun untuk ditemu bual, saya melihat stadium dan mula beremosi. Memang saya terlalu menginginkannya.
"Saya akan terus berjuang. Esok adalah hari baru tetapi hari ini tetap bermakna.
"Susah nak cakap sebab hari ini saya memang tidak puas," katanya.
#badminton #Sukan Olimpik #Chen Tang Jie #Toh Ee Wei #Paris 2024