Paris 2024: Pearly-Thinaah pamer aksi bertenaga ke separuh akhir


Ogos 1, 2024 14:55 MYT
Beregu wanita kebangsaan, Pearly Tan-M Thinaah, mencipta sensasi apabila mengetepikan wakil Korea Selatan, Kim So-yeong-Kong Hee-yong, sebentar tadi.
Percaturan awal di Arena Porte de La Chapelle itu membantu Pearly-Thinaah selesa mendahului set pertama 7-0 sebelum membenarkan pihak lawan memecah kebuntuan mata.
Dan gandingan negara itu menawan set pertama 21-12 dalam masa 17 minit.
So-yeong/Hee-yong tidak memberi laluan mudah tetapi kedua-dua beregu saling bertukar mata dan ternyata Pearly-Thinaah yang berada dalam rentak terbaik mula menjarakkan diri selepas kedudukan 8-8 sebelum mendahului 11-8.
Penonton Malaysia sempat cemas apabila Pearly terpaksa menerima rawatan selepas mengadu kesakitan di bahagian hamstringnya di kedudukan 13-12.
Begitupun, jangkaan untuk melihat gandingan Malaysia mengendurkan langkah mereka meleset sama sekali apabila mereka mengutip lapan mata berturut-turut yang menyaksikan Pearly membenam bulu tangkis dengan satu rejaman kencang ke sebelah kiri untuk memutlakkan kemenangan mereka.
Mereka akan mengadakan pertemuan semula dengan wakil China, Chen Qingchen- Jia Yifan, tengah hari esok bagi melunaskan hajat ke perlawanan akhir.
#Sukan Olimpik #Paris 2024 #Sukan Olimpik Paris 2024