Paris 2024: Nak komen pun tengoklah cermin dulu, pesan Lee Chong Wei
Ogos 12, 2024 14:18 MYT
Pemilik tiga pingat perak Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei, berpesan kepada peminat sukan di Malaysia agar berpada-pada ketika melontarkan kecaman.
Jaguh badminton dunia itu tidak membantah mengenai kritikan terhadap atlet sepanjang Sukan Olimpik Paris 2024, cuma biarlah yang menjurus ke arah pembaikan, bukannya menjatuhkan atlet semata-mata. Lantas, dia menyeru peminat lebih baik cermin diri dan tidak berselindung di sebalik akaun media sosial
Selepas menamatkan temasya edisi ke-33 dengan mengutip dua pingat gangsa, Chong Wei juga menyeru tindakan segera diambil oleh organisasi berkaitan dalam usaha terus mengangkat sukan negara ke persada dunia.
Menurutnya di Facebook, "Untuk penyokong-penyokong termasuk I pula, jom kita teruskan sokongan. Yang nk komen, biarlah berpada-pada. Bagilah nasihat yg constructive.
"Jgnla ko bermisai dan gigi jongang, tapi profil muka awek suci pastu kasi komen komen yg negatif, yg boleh merosakkan keyakinan atlit kita dan memusnahkan perpaduan negara.
"Jgn jadi keyboard warrior je!"