Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan jaguh India, Lakshya Sen, dalam aksi penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi.

Permulaan perlahan menyaksikan pemain di rangking ketujuh dunia itu bergelut dalam set pertama sehingga pada satu ketika ketinggalan 6-13 sebelum akur tewas 13-21.

Zii Jia sekali lagi berdepan masalah sama pada awal set kedua tetapi sebaik ketinggalan 3-8, dia meraih sembilan mata berturut-turut untuk mendahului 12-8 dan selepas itu, dia tidak pernah ketinggalan untuk menang 21-16 untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Aksi dalam set ketiga menyaksikan Sen bergelut dengan kecederaan lengan kanannya dan penguasaan penuh dipamerkan Zii Jia untuk menamatkan pertarungan selama sejam 11 minit itu dengan kemenangan 21-11 untuk menghadiahkan pingat gangsa kedua negara.

Sebagai rekod, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menyumbangkan pingat gangsa pertama negara dalam edisi kali ini menerusi acara beregu lelaki.