BADMINTON

Paris 2024: Jin Wei tidak akan pandang remeh, Olimpik bukan tempat main-main - Nova Armada

17/07/2024 | 12:06 MYT
Tuah undian dianggap memihak wakil tunggal perseorangan wanita negara Goh Jin Wei untuk cabaran di temasya sukan Olimpik Paris 2024.
Ia diakui jurulatihnya Nova Armada kerana pemain berusia 24 tahun itu dapat mengelak kuasa besar di peringkat kumpulan H kategori berkenaan.
Undian menyaksikan Jin Wei yang akan membuat debut di Olimpik berdepan pemain Korea Selatan Kim Ga-Eun yang menduduki ranking ke-17 dunia.
Selain itu, Johanita scholtz dari Afrika Selatan turut jadi halangan bagi perebutan selaku juara kumpulan dalam misi melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
"Ya kalau saya sudah cukup baiklah. Semua lawan sangat bagus dan kalau tidak jumpa yang ini pun akan jumpa yang itu pula.
"Untuk Afrika Selatan kita tidak akan pandang remeh dan tetap saya cakap pada dia main sepenuh hati dan selepas itu jumpa Korea Selatan kena lebih fokus dan kena belajar dan ambil tahu gaya permainannya.
"Jadi sambil melalui latihan dan terakhir akan tamat pada Isnin, semuanya berjalan lancar dan kondisi Goh Jin Wei berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
Jin Wei diramal berdepan pemain ke-9 dunia Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia andai kedua-duanya berjaya mara ke peringkat seterusnya.
Sememangnya, ini jadi peluang terbaik buat Jin Wei untuk ulangi pencapaian Datin Wong Mew Choo yang muncul pemain terakhir layak ke suku akhir di Olimpik Beijing 2008.
"Jika lepas kumpulan kita akan fokus kepada kumpulan yang ada Gregoria tetapi kita belum fikir sampai ke situ.
"Fokus pada pembangunan staminanya, saya mahu dia lebih tahan diri. Selama ini dia apabila sudah kena tiga set nampak sukar dan sekarang jika boleh dari set pertama sampai ke set penentuan stamina terus ada dan kekal cergas.
"Olimpik bukan tempat untuk bermain-main.
#olimpik #badminton #Paris #Wei #Jin #Goh
;