Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen, berharap 'air tangannya' membimbing Aaron Chia-Soh Wooi Yik sehingga bakal membuat kemunculan di Paris dalam Sukan Olimpik 2024 bulan ini, membuahkan hasil yang membanggakan buat Malaysia.

Selepas tidak pernah merasai keseronokan beraksi di pentas terbesar dunia itu sewaktu bergelar pemain, Bin Shen memasang impian agar anak buahnya itu mampu memahat keputusan positif untuk dihadiahkan buat rakyat negara ini.

Impian tersebut dipahat sejak menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2020 dengan misi setiap beregu bimbingannya berupaya melangkah ke ke Sukan Olimpik.

“Perasaan dan impian saya sejak masuk BAM adalah untuk membantu pemain-pemain melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

“Ia bukan satu tekanan, cuma harapan untuk mencapai sesuatu yang lebih besar. Saya juga harap boleh dapat apa yang dimahukan sebagai jurulatih,” katanya pada sidang media di Bukit Kiara semalam.

Bin Shen, yang kembali ke pangkuan BAM sebagai jurulatih pada Disember 2020, membantu pasangan nombor satu negara itu ke Paris selain memacu gandingan berkenaan muncul juara dunia pada 2022.

Berbaki 15 hari menjelang Sukan Olimpik membuka tirai, dia menyifatkan prestasi pasangan nombor lima dunia itu kian hampir ke tahap sebenar berdasarkan corak permainan yang mereka pamerkan dalam perlawanan simulasi.

“Semua persiapan bagus dan kami ada masa (latihan) seminggu lagi di sana (Paris). Setakat ini, boleh dikatakan prestasi mereka berada pada tahap 80 hingga 90 peratus,” ujarnya.

Aaron-Wooi Yik akan membuat penampilan kedua dalam Sukan Olimpik selepas membawa pulang pingat gangsa dari Tokyo bagi edisi 2020 tiga tahun lalu.

--Sinar Harian