Paris 2024: Ia detik hitam dalam sejarah hidup saya -- Lee Zii Jia

Najmi Iman
Ogos 5, 2024 22:51 MYT
Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, memadam kecaman yang dilemparkan kepadanya sekali gus menutup mulut dengan menghadirkan pencapaian membanggakan buat Malaysia.
Ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Ahmed Shahrazad Sani, pemain berusia 26 tahun itu mengakui terlalu banyak perkara berlaku sejak dia memilih untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara professional.
"Ia merupakan detik hitam dalam kerjaya saya sebagai pemain badminton selain menempuh masa yang sangat buruk sepanjang tiga tahun ini.
"Saya menghadapi kesukaran di mana saya bergelut dengan persembahan sendiri, ranking jatuh dan tidak percaya bahawa saya akan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Namun, saya sedikit pun tidak menyerah kalah dan membutirkan pingat gangsa kedua untuk negara meskipun impian sebenar hadir di sini ialah untuk menggondol pingat emas," ulasnya.
Atlet kelahiran Alor Setar itu jelas tidak meluahkan rasa menyesal dengan sebarang keputusannya, malah tetap bernafsu untuk membuktikan kemampuan sebenar kepada seluruh penyokong yang banyak mempertikai kebolehannya.
Lee Zii Jia turut mendedahkan bahawa semasa di set kedua, dia tidak mahu menyerah kalah dan terus berusaha kerana sudah melangkah sejauh itu tatkala tidak ingin pulang dengan tangan kosong.
"Setiap pagi apabila bangun daripada tidur, saya melihat ramai orang memetik nama saya di ruangan media sosial membuatkan saya terfikir apakah kesalahan saya.
"Saya diamkan diri meskipun mereka sentiasa mengaibkan saya kerana saya akan buktikan kepada mereka dan ini adalah permulaan untuk saya menjadi lebih hebat," katanya dalam keadaan sebak.
#badminton #Lee Zii Jia #pingat gangsa #Sukan Olimpik Paris 2024
;