Aksi pertama dalam kumpulan A melibatkan pasangan beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampak berjalan lancar apabila menang dalam aksi tiga set ke atas lawan dari Great Britain iaitu Ben Lane-Sean Vendy.Set pertama tampak berliku buat pasangan negara apabila ketinggalan 5-9 pada satu ketika namun pamer kebangkitan semula usai interval dengan kedudukan 12-13 dan selepas itu akur tewas 19-21.

Di set kedua, enggan maruah selaku Juara Dunia 2022 direntap pasangan dari Great Britain yang kini huni ranking ke-18 dunia -- Aaron-Wooi Yik susun semula percaturan dan ianya tampak positif untuk mereka menang set ini 21-16.

Kecemerlangan pasangan negara selaku ranking keempat dunia diteruskan lagi di set penentuan apabila Aaron-Wooi Yik terus mendahului perlawanan 11-7 di interval sekaligus tidak menoleh kebelakang untuk benam lawan 21-11 dalam tempoh 1 jam 12 minit perlawanan.

Untuk makluman dengan kemenangan ini terus melebarkan lagi kelebihan 5-1 rekod pertemuan antara mereka memihak kepada pasangan negara serta keluar dari mimpi ngeri tewas dalam aksi separuh akhir di tangan lawan sama pada Sukan komanwel 2022.