Pemenang lima pingat emas Sukan Komanwel, Koo Kien Keat, berpendapat pemain yang mempunyai ranking terbaik dunia lebih berpeluang untuk menggondol pingat Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun, mereka perlu ada minda yang jelas berhubung apa yang ingin dicapai di gelanggang keramat Kota Cinta itu kelak.

"Sukan Olimpik berbeza dengan kejohanan yang lain. Pemain handalan pasti akan berdepan tekanan lebih tinggi.

"Contohnya bagi gandingan yang tidak mempunyai apa-apa untuk dipertaruhkan sebagaimana kejayaan tidak diduga beregu Taiwan, Lee-Yang dan Wang Chi-lin.

"Saya harap pemain negara kita akan rasa begitu. Berikan yang terbaik tanpa tekanan tinggi," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.




Apabila ditanya mengenai prestasi semasa juara dunia 2022 itu dan pemegang pingat gangsa Olimpik Tokyo edisi lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, ini adalah reaksi bekas beregu lelaki nombor satu dunia itu.

"Permainan mereka tampak lebih matang berbanding empat tahun lalu. Jurulatih juga tahu bahagian mana yang perlu ditingkatkan lagi.

"Saya harapkan mereka mampu menangani cabaran dengan lebih baik dan berikan yang terbaik memandangkan ini bukan penyertaan pertama mereka," katanya.